Monday, 26 January 2015

Uthman Affan, Pengumpul al-Quran

“Tiap-tiap nabi mempunyai teman, dan Uthman adalah temanku di dalam syurga.” (Nabi Muhammad SAW)

Jurai Keturunan Khalifah Uthman Affan :

Bapa Uthman bernama Affan bin Abu al-As bin Umaiyah. Ibunya bernama Arwa binti Kuraiz. Adik perempuan kandungnya bernama Aminah binti Affan. Selepas Affan meninggal dunia, Arwa berkahwin dengan Uqbah dan mendapat tiga orang anak lelaki dan seorang perempuan. Mereka adalah Al-Walid bin Uqbah, Umarah dan Khalid Ummu Kalthum.

Isteri-isteri Uthman Affan :
1.       Ruqiyah binti Muhammad
2.       Ummu Kalthum binti Muhammad
3.       Fakhitah binti Ghazwan
4.       Ummu Amru binti Jundub al-Adiyah
5.       Fatima binti al-Walid
6.       Ummu al-Banin binti Uyainah
7.       Ramlah binti Syaibah
8.       Nailah binti al-Farafisah al-Kalbiyah

Anak Lelaki Uthman Affan :
-          Abdullah
-          Abdullah al-Asghar
-          Amru
-          Khalid
-          Aban
-          Umar
-          Al-Walid
-          Sa’id
-          Abdul Malik

Anak Perempuan Uthman Affan :
-          Maryam
-          Umu Sa’id
-          Ummu Aban
-          Umu Amru
-          Maryam al-Sughra
-          Ummu al-Banin

 Peristiwa-peristiwa Penting dalam Kehidupan Khalifah Uthman Affan :

Semasa bersama Rasulullah :
-          Penulis wahyu Rasulullah
-          Mempersiapkan tentera Perang Tabuk
-          Mewakafkan tanah bersebelahan Masjid Nabi
-          Wakil Rasulullah dalam Perjanjian Hudaibiah
-          Memangku tugas beliau dua kali semasa keluar berperang

Semasa Zaman Abu Bakar as-Siddiq dan Umar al-Khattab :
-          Ahli majlis mesyuarat
-          Pencatat ataupun jurutulis khalifah
Semasa Menjadi Khalifah :
-          Mengubahsuai Masjidil Haram
-          Mengubahsuai Masjid Nabi
-          Penyusunan Quran
-          Perpindahan Mina dari As-Syu’aibah ke Jeddah
-          Cincin hilang
-          Melumpuhkan armada Rom

     Uthman bin Affan berasal daripada keluarga Umaiyah yang lahir pada tahun 574. Beliau dilantik menjadi khalifah pada tahun 644 selepas Umar al-Khattab meninggal dunia. Semasa itu beliau berumur 70 tahun, memerintah selama 12 tahun (644-656) dan meninggal dunia semasa berumur 82 tahun akibat diserang oleh penentangnya.

     Dari tahun pertama hingga tahun keenam, pemerintahannya penuh dengan kejayaan dan kegemilangan. Empayar Islam berkembang luas hingga ke Iran, Afghanistan, Afrika Utara, Pulau Cyprus, Pulau Rhodes, Samarqand, Libya, Algeria, Tunisia, Morocco dan beberapa kawasan di Eropah. Beliau juga membangunkan Armada Islam hingga berjaya melumpuhkan armada Rom. Tetapi dari tahun keenam hingga ke-12, pemerintahannya berlaku kacau-bilau hingga berakhir dengan pembunuhan.

     Orang yang bertanggungjawab menimbulkan huru-hara itu adalah Abdullah bin Sabak, Yahudi yang berpura-pura memeluk Islam. Dia menghasut orang ramai supaya menentang Khalifah Uthman Affan dengan tuduhan tidak layak serta menyalahgunakan kuasa.

     Bagi membangkitkan kemarahan orang ramai, Abdullah bin Sabak menuduh Uthman Affan merampas hak Ali bin Abu Talib yang sepatutnya menjadi khalifah. Dia juga mengagung-agungkan Ali hingga sanggup mengatakan, sepatutnya Ali yang menjadi nabi akhir zaman, tetapi Malaikat Jibril tersilap menurunkan wahyu kepada Muhammad.

     Uthman Affan mendapat gelaran Zin Nurain yang ertinya memiliki dua cahaya kerana Rasulullah sudah mengahwinkannya dengan dua orang puterinya iaitu Ruqayah dan kemudiannya dengan Ummu Kalthum selepas Ruqayah meninggal dunia.

     Uthman Affan antara yang terawal memeluk Islam selepas Abu Bakar as-Siddiq. Beliau antara 10 sahabat Rasulullah yang dijamin masuk syurga. Beliau terkenal dengan sifat lemah lembut, pemalu dan berbudi pekerti mulia.

     Rasulullah pernah berkata, “Saya memohon kepada Tuhanku supaya tidak ada seorang pun yang pernah menjadi menantuku ataupun menjadi mentuaku dimasukkan ke dalam neraka.”

     Beliau berkata lagi, “Tiap-tiap nabi mempunyai teman, dan Uthman adalah temanku di dalam syurga.”
     Ramai berpendapat punca kekecohan yang berlaku pada masa pemerintahan Khalifah Uthman Affan adalah kerana campur tangan keluarga Bani Umaiyah dalam urusan pentadbiran negara. Contohnya, beliau melantik Marwan al-Hakam menjadi setiausahanya. Kemudian memecat Amru al-Ash sebagai Gabenor Mesir digantikan dengan Abdullah bin Saad. Beliau juga dikatakan mengutamakan keluarga sendiri.

     Ada juga yang berpendapat kononnya berlaku perselisihan antara Khalifah Uthman Affan dengan seorang sahabat Nabi Muhammad bernama Abu Zar al-Ghifari hingga beliau dibuang negeri. Sebenarnya tidak terdapat perselisihan antara mereka berdua. Memang benar Abu Zar al-Ghifari pernah menegur Muawiyah, gabenor Syam yang dianggapnya hidup terlalu mewah. Tetapi Muawiyah menerima teguran itu dan tidak berdendam kepada Abu Zar Ghifari.

     Antara jasa Khalifah Uthman Affan yang besar adalah penyusunan semula al-Quran dengan sebutan loghat Arab Quraisy. Al-Quran inilah yang digunakan hingga ke hari ini yang dikenali dengan nama Mashaf Uthmani. Beliau juga membesarkan Masjid Nabi di Madinah dan Masjidil Haram di Mekah. Tindakan beliau itu disalah erti hingga ada yang menuduhnya melakukan penyelewengan lalu mendesaknya meletakkan jawatan.

     Ali bin Abu Talib membela Khalifah Uthman Affan dengan berkata, “Sebelum Khalifah Uthman Affan melakukan penyusunan semula al-Quran, dia sudah berbincang dengan Ahli Majlis Syura. Al-Quran yang dibakar itu mengandungi perselisihan dan yang ada sekarang ini adalah yang disepakati bersama kesahihannya. Adapun kerana melantik keluarga terdekat bagi memegang jawatan penting itu semata-mata kerana kebolehan mereka. Mengenai pemberian harta baitulmal untuk keluarganya itu sebenarnya ia daripada harta Khalifah Uthman Affan sendiri. Dia mendermakan banyak hartanya untuk baitulmal. Sebagai khalifah, dia berkuasa mengeluarkan harta dari baitulmal.”

Sunday, 25 January 2015

Salam Ukhuwah

Assalamualaikum semua ^_^

Ini post pertama saya. Masih belum ada idea untuk menulis :)
Cuma sedikit kata-kata nasihat dan pesanan buat diri yang sentiasa alpa serta rakan-rakan di luar sana,

Semoga hari-hari yang kita lalui ini sentiasa beroleh keberkatan dari-Nya.
Semoga iman dan amal kita juga semakin meningkat dari semasa ke semasa.
Bukan mudah untuk istiqamah melaksanakan kebaikan, tetapi belajarlah untuk bermujahadah mendisiplinkan diri agar sentiasa tidak leka dalam mengejar dunia semata-mata.
Bekalan akhirat perlu jua dicari, digali dan diamalkan dengan seikhlas hati.

*Orang yang berqiamullail, Allah menjamin urusan hidupnya di bawah jaminan dan perlindungan Allah..


Salam Ukhuwah !